Ini cerita yang tertangguh sebenarnya. Kami pergi ke Ipoh untuk melawat atuk suami saya yang sakit 2 minggu lepas (29 -30 Jun). Pada mulanya kami hendak menumpang tidur di rumah mak saudara saya. Malangnya mak saudara saya bersama dengan suaminya pula datang ke KL sebab nak menonton perlawanan akhir Piala F.A. bersama-sama dengan adik-adik lelaki saya. Jadi terpaksalah kami mencari hotel untuk bermalam. Bila cari di internet, terjumpalah Hotel Impiana (4 Bintang) dengan harga yang taklah mahal sangat. Terus suami buat tempahan bilik.
Kami bertolak dari KJ pukul 11 pagi dan sampai di Ipoh lebih kurang pukul 2 petang. Bila sampai je kami terus ke rumah atuk suami. Kebetulan pula di rumah atuk agak berdebu kerana pakcik suami (yang tinggal bersama atuk) sedang buat pengubahsuaian di bahagian depan dan dapur di belakang. Jadi memang kami tunggu untuk menjenguk atuk dan berbual-bual dengan keluarga pakcik lebih kurang 2 jam sebelum terus ke Hotel Impiana.
Di lobi hotel
Kami dapat harga promosi untuk bilik Deluxe iaitu RM175. Kira agak berbaloi dengan 2 buah katil double. Kami tambah satu lagi tilam 2 buah katil tu macam agak sempit. untuk kami berlima.Jadi kena tambah bayaran dalam RM60. Bila masuk ke bilik, anak-anak seronok sangat sebab memang dah lama kami tak bercuti dan menginap di hotel. Husna yang baru belajar jalan pun seronok buat tawaf keliling bilik. Bilik kami di tingkat 7 jadi bila tengok ke luar tingkap, nampak pemandangan yang agak menarik.
Sibuk mencuba katil
TV & Meja solek
Bilik air
Pemandangan apa yang menarik? Hehe. Bukan apa-apa pun. Ada tempat lumba kuda tak jauh dari situ. Mula-mula ingatkan stadium. Masa nak tangkap gambar tu pulak, ada pelangi baru timbul. Tu yang menarik tu.
Bila dah pukul 6 petang, kami ingat nak berehat dalam bilik je sebelum keluar makan malam. Tapi anak-anak sibuk nak mencuba kolam renang di tingkat bawah. Dah alang-alang menginap di situ, kami bawalah anak-anak main air di kolam. Husna yang paling suka main air walaupun dia main di kolam yang paling cetek. Sebelum kami pernah bawa Husna ke Pantan Bagan Lalang tapi dia tak suka main air di pantai. Fathini dan Hafizah dah pandai bawa diri jadi diaorg main di kolam yang agak dalam sikit. Anak-anak main air sampailah hampir waktu maghrib.
Baju mandi yang agak besar dari tuan badan.
Masa ni belum puas main air
Masa malam tu kami keluar makan di restoran yang terkenal dengan Nasi Lemak Ayam Kampung. Lupa la apa nama sebenar restoran tu. Tapi memang penuh betul orang kat restoran tu. Menu pun ada macam-macam. Kami ikut pakcik suami yang bawa ke restoran tu. Diaorg sekeluarga makan Nasi Lemak Ayam Kampung,anak-anak kami makan Fish and Chip, saya dan suami makan nasi putih, tomyam, udang goreng tepung dan yang istimewanya sup belut. Pertama kali kami cuba sup belut dan memang sedap. Cuma kuah tu agak pedas bila dah tergigit cili padi. (tiada gambar yang makanan ye. mintak maaflah). Sambil mlakan, kami sempat jugak menonton perlawanan bola sepak Piala FA.
Esoknya selepas makan pagi, anak-anak masih nak main air di kolam renang. Kiranya bagi peluang diaorg main lagi sebelum kami keluar dari hotel dan nak melawat rumah makcik saya pula di kawasan perumahan F.R.U. di Ipoh. Makan tengahari ditaja sepenuhnya oleh keluarga makcik saya. Sempat jugak berbual-bual lama dan berehat sekejap di rumah makcik saya sebelum bertolak balik ke K.L.
*Kalau sesiapa yang ada urusan ke Ipoh, memang saya rasa Hotel Impiana memang tempat yang selesa dengan harga pun agak sederhana. Kakitangan hotel pun agak ramah dan mesra. Lokasi hotel pun tak jauh dari bandaraya Ipoh dan agak senang juga nak melawat ke tempat-tempat lain dari situ. Saya bukan dapat bayaran apa-apa pun tulis pasal hotel ni. Saja suka-suka berkongsi pengalaman menginap di situ.